PENGENALAN

Jabatan Penuntut Malaysia Chicago (JPMC) telah ditubuhkan pada bulan September 1982 iaitu selepas penubuhan Jabatan Penuntut Malaysia Washington DC dan Jabatan Penuntut Malaysia Los Angeles. JPMC bertanggungjawab mengawalselia pelajar-pelajar di Wilayah Tengah Amerika Syarikat yang meliputi 12 negeri. Negeri-negeri tersebut terdiri daripada Illinois, Indiana, Wisconsin, Michigan, Minnessota, South Dakota, North Dakota, Nebraska, Iowa, Kansas, Missouri dan Oklahoma.

Di awal penubuhannya, JPMC ditempatkan di Bangunan John Hancock, Chicago. Pada 13 Mei 1987, JPMC telah dipindahkan ke 820 Davis Street, Suite 510, Evanston sehingga sekarang bagi menjimatkan kos sewaan yang terlalu tinggi di bandar Chicago di samping kemudahan kepada pelajar untuk berkunjung.

MISI

Tujuan utama JPMC ditubuhkan antara lain adalah untuk membimbing, mengendali serta menyelaras dan menyediakan kemudahan kepada pelajar-pelajar Malaysia yang berada di Wilayah Tengah Amerika Syarikat khasnya dan bagi seluruh warga pelajar di Amerika Syarikat amnya.

Berdasarkan tujuan tersebut, JPMC beroperasi berpandu kepada misi untuk mewujudkan sistem pengurusan pelajar yang terbaik ke arah menghasilkan tenaga kerja yang taat setia, berpengetahuan tinggi, berkemahiran, berkeyakinan, berakhlak mulia dan beriltizam untuk memenuhi aspirasi masyarakat dan negara Malaysia.

OBJEKTIF

Objektif JPMC ditubuhkan adalah untuk:

  1. mewujudkan sistem pentadbiran dan pengurusan yang berkesan ke arah meningkatkan kebajikan pelajar;
  2. Mengawal selia prestasi akademik pelajar ke arah pencapaian akademik yang lebih cemerlang.
    berdamping serta beramah mesra dengan pelajar untuk tujuan meningkat dan membina keyakinan diri mereka, disamping menyemaikan sifat setia kepada negara;
  3. membimbing dan membantu pelajar untuk melahirkan tenaga manusia yang berketerampilan, proaktif serta cekal dalam menghadapi dunia kerjaya yang kian mencabar;
  4. merancang dan melaksanakan aktiviti untuk mempertingkatkan perkembangan menyeluruh diri pelajar dari semasa ke semasa;
  5. mewujud dan memperkukuhkan jalinan hubungan yang berkesan antara jabatan dengan pelajar, penaja, universiti dan agensi-agensi lain;
  6. melaksana tugas-tugas pentadbiran dan pengurusan am jabatan.

FUNGSI

Fungsi JPMC meliputi semua aspek hal ehwal kebajikan pelajar, pembelajaran, maklumat, pentadbiran, pengurusan kewangan sebagaimana berikut:

  1. mengendalikan hal ehwal akademik pelajar tajaan;
  2. mewujudkan dan mengoperasi sistem maklumat pelajar;
  3. menyediakan dan memberi khidmat bimbingan, rundingcara kerjaya dan latihan kepada para pelajar;
  4. mengendalikan urusan penempatan pelajar;
  5. mengendalikan kursus dan latihan pendek;
  6. membina dan mengoperasi pangkalan maklumat pendidikan terkini;
  7. mengadakan hubungan antara agensi;
  8. mengendalikan pengurusan disiplin pelajar;
  9. mempromosi kebudayaan Malaysia di luar negara;
  10. menjalankan aktiviti penyebaran maklumat negara kepada pelajar Malaysia;
  11. membantu mengurus aturcara lawatan orang-orang kenamaan dan pembesar negara;
  12. mengendalikan hal ehwal kebajikan pelajar;
  13. membantu hal ehwal kewangan pelajar;
  14. mengendalikan aktiviti pentadbiran dan pengurusan JPMC;
  15. menyedia dan mengendali rekod dan penyelidikan pendidikan;
  16. mentadbir dan menasihat pergerakan dan aktiviti persatuan pelajar Malaysia;
  17. mengendalikan aktiviti pengurusan kewangan dan perakaunan jabatan;
  18. menjalankan aktiviti promosi pendidikan Malaysia;
  19. mengadakan hubungan dua hala antara agensi dari Malaysia dan menjalankan tugas protokol dan konsular.